Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Empat pelajar telah mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam Pertandingan Debat Antarabangsa Bahasa Arab IIUM 2023, anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) bermula 8 hingga 11 Disember.
Pelajar-pelajar berkenaan ialah Awang Muhammad Afiq Ahlami bin Ahmad Ilmi, Dayang Nur Nawwarah binti Ewardy Irwan, Dayang Filzah Afiqah binti Chuchu dan Dayang Mardhiah binti Rozalan.
Penyertaan itu dihasratkan mendedahkan para pelajar untuk mempraktikkan bahasa Arab secara kondusif, di samping memberikan peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pandangan mengenai topik-topik yang akan didebatkan dalam pertandingan itu.
Selain itu, pertandingan yang melibatkan penyertaan universiti-universiti di Malaysia dan luar negara itu juga bertujuan membantu para pelajar dalam memperkembangkan kemahiran bahasa Arab di samping menjadi platform untuk saling mengeratkan silaturahim.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dan Ketua Program Sarjana Muda di Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr Hajah Rafizah binti Haji Abdullah.


