Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 pelari negara sertai Trail Asia Tenggara 2024

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Kumpulan seramai empat orang pelari trail terkemuka Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk mengharumkan nama negara menerusi penyertaan mereka dalam Kejohanan Larian Trail Asia Tenggara 2024 yang berlangsung di Wilayah Pergunungan Bohtoc, Manila Filipina bermula 20 Jun hingga 23 Jun.

    Pasukan negara yang diwakili oleh Ibni Nudin, Muhammad Ajmal Azman Sudin, Nur Hidayat Metussin dan Amirul Tuah berlepas dari Negara Brunei Darussalam ke Filipina, hari ini.

    Pasukan negara telah menerima jemputan rasmi dari Persatuan Laran Trail Filipina (PhilTra) untuk menyertai kejohanan berkenaan melalui Persatuan Rekreasi Pengembaraan Brunei (BARA).

    Dalam kejohanan berkenaan, Ibni Nudin dan Muhammad Ajmal Azman Sudin akan beraksi dalam kategori Mountain Classic sejauh 12.32 kilometer dengan peningkatan ketinggian 869 meter dan Vertical Uphill sejauh 5.11 kilometer dengan peningkatan ketinggian 805 meter.

    Sementara itu, Amirul Tuah dan Nur Hidayat Metussin akan menyertai acara Short Trail mencabar sepanjang 36.49 kilometer.

    Kejohanan Larian Trail Asia Tenggara adalah acara tahunan yang membawa bersama pelari trail terkemuka dari seluruh Asia Tenggara untuk bersaing dalam pelbagai acara larian trail jarak ultra dengan pelbagai landskap semula jadi yang paling cantik dan mencabar di rantau ini.

    Acara itu juga akan menampilkan larian trail panjang iaitu sejauh 80km, trail pendek iaitu sejauh 42km, trail pergunungan iaitu sejauh 25km dan trail menegak iaitu sejauh 5km merentasi kawasan pergunungan Bontoc.

    Tujuh buah negara dan kira-kira 200 orang atlet telah pun mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan tahun ini yang dianjurkan oleh Filipina.

    Nur Hidayat Metussin (satu dari kiri), Amirul Tuah (dua dari kiri), Ajmal Sudin (dua dari kanan) dan Ibni Nudin (satu dari kanan) yang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Larian Trail Asia Tenggara 2024. – Gambar serahan BARA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda