Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Empat orang pengurus operasi daripada McDonald’s Brunei, baru-baru ini, telah menyertai program latihan dan pembangunan di Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada pengurus-pengurus pelatih daripada McDonald’s Pandu Lalu di Taman Permainan Jerudong Park, Awang Mohammad Dini bin Haji Morsidi dan Dayang Surayana binti Haji Hussin serta dari cawangan McDonald’s Gadong, Dayang Norzahidah binti Jefri dan Dayang Nordinah binti Libut.
Di akhir program latihan itu, para peserta juga telah menjalani peperiksaan untuk mendapatkan sijil pengurus yang disahkan.
Awang Mohammad Dini semasa ditemui menyatakan bahawa beliau sememangnya tidak menyangka kerana telah berjaya untuk mendapat jawatan yang telah diberikan sekarang.

Beliau yang melahirkan perasaan gembira dan bersyukur apabila diberikan peluang untuk menyertai program tersebut menyatakan lagi, semasa beliau mula bekerja di McDonald’s Brunei sebagai seorang krew, beliau begitu tekun dan gigih untuk bekerja keras untuk mencapai apa yang diharapkan daripada diri sendiri, kerana ia merupakan satu tanggungjawab untuk melakukan dan menyelesaikan tugas yang diberikan.
“Dengan izin Allah S.W.T, kini saya telah pun dinaikkan pangkat untuk menjadi pengurus peralihan setelah enam bulan bekerja,” ujarnya.
Dengan program ini, diharap para peserta akan dapat meningkatkan lagi kualiti mutu pekerjaan mereka dan memupuk lagi semangat kerja berpasukan dalam sama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.