Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 peserta perdengarkan hafazan hari pertama musabaqah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Hari Pertama Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah pagi tadi menyaksikan empat orang peserta dari Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura memperdengarkan hafazan masing-masing bagi Kategori Menghafaz 10 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Surah At-Taubah.

    Musabaqah anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS diadakan selama dua hari, pukul 9 pagi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Dalam ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Haji Mohd Albi bin Haji Ibrahim, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah, MABIMS merupakan satu wacana kerjasama yang kukuh terutama dalam menyampaikan perkhidmatan agama di rantau MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

    Jika dilihat pada pencapaian setiap negara anggota MABIMS yang kesemuanya menyandang johan dalam musabaqah sejak ia dilaksanakan pada tahun 2009 sehingga sekarang, ia setentunya mencerminkan keberkesanan sistem pendidikan Islam di setiap negara dan ia boleh dilihat sebagai sebuah mekanisme untuk menilai tahap pendidikan tahfiz dan pemahaman Islam di rantau MABIMS.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na’im, Kampung Pancor Mangkubau, Awang Muhammad Saifullah bin Rosli.

    Majlis turut hadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Shawn Grosse; dan wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam. Juga hadir, para pegawai kanan KHEU dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Acara berkenaan diadakan adalah bagi menggerakkan proses pengembangan dan penyebaran Al-Quran dan pengajarannya di kalangan negara-negara anggota MABIMS serta mengeratkan lagi hubungan integrasi negara-negara anggota MABIMS terutama dalam bidang Al-Quran di samping menyatukan perpaduan ummah melalui Al-Quran yang menjadi sumber kejayaan dan kegemilangan di dunia dan akhirat.

    Majlis ditangguhkan dan disambung pada hari kedua iaitu 15 Mac bagi Musabaqah Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Surah Al-Hujurat.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri musabaqah tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Salah seorang peserta memperdengarkan hafazan semasa musabaqah berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda