BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Dua produk kesihatan dan dua produk kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menyatakan produk kesihatan yang dicemari itu ialah Ubat Resdung Mujarab Kapsul telah dicemari dengan Chlorpheniramine, Dexamethasone, Betamethasone, manakala Mujarab Resdong Plus Kapsul yang telah dikilangkan oleh MRP Marketing, Sabah, Malaysia pula dicemari oleh Chlorpheniramine, Dexamethasone, Betamethasone dan Prednisolone.
Sementara itu, dua produk kosmetik, White Horse Gluta by JL Fara 1 Tumeric Night Cream dan White Horse Gluta by JL Fara 2 Seaweed Night Cream masing-masing dicemari dengan Merkuri.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil produk-produk berkenaan kerana bahan pencemar dalam produk tersebut boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Chlorpheniramine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ianya mempunyai beberapa kesan advers termasuk merasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut kering, kemurungan, denyutan jantung tidak menentu, meningkat selera makan dan berat badan.

Menurut kenyataan itu, penggunaan kortikosteroid Dexamethasone, Betamethasone dan Prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi,katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.
Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.
Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.