Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 produk kesihatan tercemar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan empat produk kesihatan yang mana hasil ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan, mendapati bahawa produk-produk berkenaan dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

    Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa produk-produk kesihatan yang dicemari iaitu Sex It Up (Male Enhancement) (1×10 Capsules) yang dicemari dengan sildenafil, Coklat Koneck Dhob Booster (1×6 biji) yang dicemari dengan tadalafil, Maxman Hard Erection Ultra Long 3800mg (3800mgx10 Pills) yang dicemari sildenafil serta Blanko Ultimate Nutrition (Health Supplement) (1×12 Tablets) yang dikilangkan oleh Blanko De Espana, Calle, Sepanyol telah dicemari tadalafil.

    Bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Sildenafil dan tadalafil adalah ubat digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat berkenaan ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.

    Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

    Maxman Hard Erection Ultra Long 3800mg
    Produk Blanko Ultimate Nutrition yang disahkan dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan selepas hasil ujian makmal.
    Coklat Koneck Dhob Booster

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dengan dapatan itu, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk itu, mereka hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk berkenaan termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah diingatkan bahawa ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda