Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 syarikat kena denda lebih $18,000

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Empat buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda setelah wakil syarikat-syarikat berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, kerana gagal mematuhi Seksyen 52 (1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35) pada Disember 2021, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, Bumijati Sdn Bhd dan R.K.C Sdn Bhd masing-masing telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.

    Manakala itu, Boon Ann Engineering Sdn Bhd telah dikenakan denda sebanyak $4,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2018 dan 2019.

    Sementara itu, Emasku Sdn Bhd telah dikenakan denda sebanyak $4,500 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada dan 31 Disember 2017, 2018 dan 2019.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa di sepanjang 2021, sebanyak 19 buah syarikat tempatan telah pun didakwa di mahkamah atas kegagalan penyata cukai pendapatan mereka. Dalam hal itu, Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi ingin mengingatkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.

    Kegagalan untuk menghadapkannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35 yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 dan jika gagal membayar akan dipenjarakan selama 12 bulan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda