Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 11 JULAI – Empat buah syarikat perniagaan telah dikeluarkan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan Rampaian 2021 dalam tempoh dua hari.
Pada hari ini, sebuah syarikat dikenakan kompaun $2,000 kerana membuang sisa bahan binaan di atas tanah lapang di tempat awam di Kampung Sungai Damit Pemadang Bukit Udal, Tutong.
Sementara itu, kelmarin, tiga buah syarikat telah dikeluarkan kompaun disebabkan membuang sampah di sekitar kawasan tapak projek di tempat awam.
Sebuah syarikat telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500 manakala itu, dua buah syarikat dikenakan denda kompaun sebanyak $1,000.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong, kesemua syarikat berkenaan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari di mana jika gagal boleh dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.



