4 tamat program GTP di ISB

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Empat orang telah berjaya menamatkan Graduate Trainee Programme (GTP) pertama yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa Inggeris, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB: ELC) dan majlis penyampaian sijil telah diadakan di ISB, baru-baru ini.

Sijil-sijil telah disampaikan oleh Pengurus ELC, Dayang Hayati binti Kamis kepada Awang Muhammad Isamuddin Syah bin Haji Hanapi, Dayang Rabi’atul Adawiyyah binti Mohamed Fadzillah, Dayang Nurhuda binti Pehin Shari dan Dayang Siti Sarah Khairunnisa binti Haji Zainalabidin sebagai pengiktirafan kepada mereka menamatkan program enam bulan berkenaan.

ISB dalam kenyataan yang dikeluarkannya menjelaskan, GTP adalah salah satu program yang ditawarkan oleh pusat berkenaan untuk melatih dan memberikan peluang kepada graduan untuk mendapatkan pengalaman dan cemerlang dalam bidang pendidikan.

Program berkenaan memberi peluang kepada graduan untuk membantu pelajar-pelajar sekolah menengah dan pelajar dewasa di syarikat-syarikat korporat bagi Sokongan Inggeris sebagai Bahasa Tambahan (EAL).

Di samping itu, mereka juga menjalankan latihan-latihan mengajar, pada masa yang sama mengambil Sijil Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (TEFL).

Dayang Hayati dipetik menyatakan bahawa graduan-graduan berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan dalam menamatkan program mereka semasa situasi yang tidak pernah berlaku ini.

Kenyataan menjelaskan bahawa ISB ELC menawarkan kursus-kursus bagi mereka yang ingin memperbaiki kecekapan Bahasa Inggeris dan mereka yang mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam empat kursus iaitu Bahasa Inggeris bagi Tujuan Perniagaan; ‘O’ Level, IGCSE atau GCSE: Latihan Kemahiran dan Peperiksaan Bahasa Inggeris; Persediaan IELTS: Latihan Kemahiran dan Peperiksaan Bahasa Inggeris; dan Kursus Bahasa Inggeris Umum: Kemahiran Bahasa Inggeris dengan fokus perbualan bagi semua peringkat.

ATAS & BAWAH: Dayang Hayati menyampaikan sijil kepada graduan-graduan yang telah menamatkan GTP pertama. – Gambar serahan ISB