ISTANBUL, 1 Nov – Empat anak kapal terbunuh manakala enam lagi hilang, selepas sebuah kapal kargo tenggelam di Laut Hitam berhampiran Istanbul pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua, memetik media tempatan.
Kapal berkenaan dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Eregli dari Pelabuhan Gemlik di Laut Marmara, sebelum hilang dari radar, menurut akhbar harian Hurriyet.
Operasi menyelamat oleh pengawal pantai Turki sedang dilakukan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Kapal Turki sepanjang 78 meter, Bilal Bal yang membawa 10 kru itu telah mengeluarkan isyarat kecemasan beberapa jam sebelum hilang di pesisir pantai daerah Sile Istanbul, menurut kenyataan kementerian yang bertanggungjawab dalam pengangkutan, komunikasi dan hal ehwal maritim.
Kapal terbang pengawal pantai, helikopter dan beberapa bot penyelamat telah dikerahkan ke kawasan itu di mana para penyelamat mendapati pelampung dan rakit keselamatan hanyut di tempat di mana kapal itu dipercayai tenggelam, menurut kenyataan itu lagi. – AP