Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 terbunuh dalam undian ketua kampung di Filipina

    MANILA, 30 OKT – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di selatan Filipina yang bergolak hari ini ketika berjuta-juta orang keluar mengundi ketua-ketua kampung berikutan keganasan berkaitan pilihan raya yang membawa maut selama berbulan-
    bulan.

    Pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh negara untuk undian yang telah lama tertangguh bagi lebih 336,000 jawatan majlis.

    Walaupun kampung merupakan unit kerajaan peringkat paling bawah, jawatan majlis itu hangat dipertandingkan kerana ia digunakan oleh parti-parti politik untuk memupuk rangkaian akar umbi dan membina pangkalan sokongan untuk pilihan raya tempatan dan umum.

    Lebih 300,000 pegawai polis dan tentera dikerahkan untuk mengawal pusat-pusat mengundi di lebih 42,000 kampung.

    Di ibu kota Manila, para pengundi beratur panjang untuk membuang undi di sekolah-sekolah yang digunakan sebagai tempat mengundi.

    Polis mengumpul bukti di sebelah mayat di tempat kejadian tembakan di luar pusat mengundi susulan konfrontasi antara penyokong calon saingan, semasa pemilihan ketua kampung dan wakil belia di seluruh negara di bandar Datu Odin Sinsuat di pulau Mindanao, kelmarin. – AFP

    “Ini penting untuk rakyat kita perlu boleh berunding dengan seseorang mengenai masalah kita,” kata Rosemarie Garcia di kawasan kejiranan Tondo.

    “Kami memerlukan seseorang yang mudah didekati oleh pengundinya,” tambahnya.

    Pilihan raya secara tradisinya merupakan masa bergolak di Filipina, yang mempunyai undang-undang senjata api yang longgar dan budaya politik yang ganas.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, George Garcia berkata bahawa pengundian ‘secara umumnya aman’ kecuali beberapa insiden di pulau selatan Mindanao.

    Dua orang terbunuh dan lima lagi cedera di luar pusat mengundi di wilayah Maguindanao del Norte, kata polis.

    Insiden tembakan berlaku semasa konfrontasi antara penyokong calon-calon ketua kampung yang bersaing, kata ketua polis perbandaran Datu Odin Sinsuat, Leftenan Kolonel Esmail Madin.

    Dalam kejadian lain di Mindanao, seorang wanita terbunuh apabila pertempuran berlaku selepas sebuah van yang membawa seorang ketua kampung dan penyokongnya dihalang di jalan raya oleh orang yang menyokong pesaingnya di wilayah Lanao del Norte, kata tentera.

    Suami kepada seorang ketua kampung di wilayah Lanao del Sur maut selepas dia ditembak di dada semasa konfrontasi dengan saingan isterinya, kata polis. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda