Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Empat orang termasuk pengetua dan kakitangan di Sekolah Stella, hari ini, menerima Sijil Masyarakat Berjasa setelah bertindak pantas memadam kebakaran sebuah kereta daripada terus merebak.
Penyampaian sijil kepada Lise Kim Chandler, Ronnie Vin Luan, Akmal bin Latif dan She’arah Jayne Abdullah @ Jayne Rahman telah disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop.
Turut hadir semasa penyampaian sijil itu ialah Pegawai Perhubungan Awam Operasi C dan anggota Cawangan Operasi C, SO Haji Kipla bin Haji Angas.
Para penerima mendapat penghargaan itu atas tindakan pantas mereka memadam kebakaran pada sebuah kereta menggunakan tiga botol alat pemadam api jenis karbon dioksida (CO2) sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian.
JBP menyarankan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta di samping memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah.
Ini adalah bagi memastikan pendawaian yang dibuat adalah betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta dinasihatkan menyimpan alat pemadam api jenis dry chemical powder di dalam kereta. Manakala bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel yang mahir dan bertauliah.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.
