Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 tukun tiruan dibina di Pulau Sepanggar jaga ekosistem hidupan marin

    KOTA KINABALU, 2 April – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah membina empat tukun tiruan dengan kerjasama pengusaha resort Mari Mari Sepanggar Island di Pulau Sepanggar dekat sini bertujuan menjaga simbiosis ekosistem kehidupan marin di pulau berkenaan.

    Pengarah MOTAC Negeri Ag Zaki Abu Bakar berkata kerjasama itu merupakan langkah permulaan pihaknya dengan pengusaha pelancongan untuk menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

    “Melalui pembinaan tukun-tukun tiruan ini, ia secara tidak langsung dapat menyumbang kembali kepada alam sekitar dan industri pelancongan negara, khususnya di Sabah memandangkan ianya penting bagi kesinambungan kehidupan marin.

    “Dengan adanya usaha yang berterusan, kita juga dapat meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan pengusaha syarikat pelancongan, termasuk syarikat selaman, tetapi juga secara tidak langsung kepada penduduk tempatan serta pelancong untuk bersama membantu memperkayakan lagi khazanah biodiversiti marin di sini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘End In Sipadan … Mari-Mari Pulau Sepanggar 1Voluntourism Artificial Reef’ di pulau berkenaan hari ini.Program tiga hari itu melibatkan 50 peserta terdiri daripada Persatuan Pelancongan Sabah, Persatuan Pelancongan Backpackers dan Kolej Antarabangsa Almacrest (AIC).

    Sementara itu, pemilik Mari-Mari Sepanggar Island, Octavius Dares Asaad berkata pihaknya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan empat tukun tiruan sebelum memasangnya di dasar laut.Menurutnya, sebanyak dua tan blok bata simen, 60 kilogram (kg) simen dan 30kg tanah hutan bakau digunakan untuk menyiapkan tukun tiruan berukuran empat hingga enam kaki (1.2 meter-1.8 meter) dengan ketinggian dua hingga empat kaki (60 sentimeter-1.2 meter).

    “Bahan-bahan ini kecuali blok bata, dicampur dan digaul untuk membentuk bebola sederhana besar dan ia diletakkan sebagai plaster untuk memastikan ia melekat antara blok bata.

    “Lumpur bakau sangat sesuai untuk dijadikan plaster memandangkan ia kalis air dan tidak mudah pecah di dalam air,” katanya dan menambah tukun tersebut dijangka mengambil masa enam bulan untuk ditumbuhi lumut dan kerangan yang akan menarik ikan-ikan untuk berlindung dan mendapat bahan makanan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda