Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 wakil negara sertai HISDAM 2025 di Malaysia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dua orang pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama dua belia masjid mewakili Negara Brunei Darussalam ke Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HISDAM) 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 15 Ogos di The Everly Hotel, Putrajaya, Malaysia.

    Wakil pegawai KHEU terdiri daripada Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Morsidi dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yusli bin Haji Ashli.

    Turut serta ialah dua belia masjid dari Kumpulan Belia Masjid Senegara, Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, iaitu Belia Masjid Lumapas, Awang Abdul Mu’iz bin Rosnan dan Belia Masjid Ash-Shaliheen, Awang Wan Amirul Amjad bin Haji Zaini.

    Pada perhimpunan berkenaan, Awang Ahmad Muzhafar selaku penceramah undangan telah membentangkan ceramah bertajuk Modul Bina Sahsiah Islami untuk Sukarelawan Belia MABIMS.

    Pengisian utama HISDAM 2025 merangkumi slot pembentangan bertema Gerakan Sukarelawan sebagai Barisan Hadapan Dakwah yang Responsif dan Adaptif; Sukarelawan Dakwah dan Pemberdayaan Asnaf; Modul Bina Sahsiah Islami untuk Sukarelawan Belia MABIMS; dan Platform Serantau Sukarelawan Dakwah: Satu Cadangan Integrasi.

    Gambar ramai empat wakil negara yang menyertai HISDAM 2025 di Putrajaya, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Tuan Yang Terutama Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

    HISDAM 2025 menghimpunkan sukarelawan dakwah dari negara anggota MABIMS iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dengan tujuan menggabungkan tenaga sukarelawan dakwah serta melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam menghadapi cabaran dakwah masa kini.

    Penyertaan KHEU diharap dapat memperkukuh komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memperluas peranan sukarelawan dakwah belia di rantau ini, di samping menjadi platform strategik bagi bertukar pengalaman, berkongsi amalan terbaik dan memantapkan kerjasama serantau dalam memartabatkan syiar Islam, serta menyokong peranan Sekretariat MABIMS Brunei sebagai penghubung dan penyelaras inisiatif kerjasama belia serantau MABIMS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda