Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Empat orang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN Cyber SEA Games 2021 yang berlangsung secara maya pada 26 November lalu.
Pertandingan tersebut dihoskan secara maya oleh Pusat Pembinaan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun (AJCCBC) dan Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital Thailand.
Peserta Brunei dihoskan di Cyber Security Brunei (CSB) dan termasuk tiga finalis pertandingan Cyber Battle: Capture The Flag 2021 yang diadakan pada Mei lalu, selain seorang peserta dari CSB.
Menurut kenyataan CSB, di sini, permainan berkenaan adalah pertandingan Capture The Flag (CTF) yang disediakan untuk pelajar dan jurutera di bawah umur 30 tahun dari 10 negara anggota ASEAN.
Pertandingan CTF biasanya digunakan dalam bidang keselamatan maklumat untuk meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran dan pengalaman serta kerja berpasukan.
Joshua Chin, yang mengambil bahagian buat kali kedua dalam ASEAN Cyber SEA Game dipetik berkata, “Selepas kali kedua saya menyertai acara antarabangsa ini, pasukan Brunei telah membuat peningkatan yang ketara dari tahun lepas, memperoleh tempat ke-4 daripada 10 negara ASEAN.
“Ini menunjukkan bahawa Brunei semakin maju ke hadapan, dengan memajukan kemahiran dan pengetahuan kami dalam keselamatan siber, menunjukkan bahawa kami tidak terlalu jauh daripada persaingan antarabangsa,” tambahnya.
