Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Seramai 40 orang ahli Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran PEKERTI yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Pesuruhjaya Polis, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua PEKERTI.
Turut hadir ialah Pengerusi PEKERTI, Datin Sabrina binti Abdullah Chong, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli daripada ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Dikir Marhaban dan diakhiri dengan doa penutup bagi memberkati majlis.
Aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli PEKERTI di samping menggalakkan pembacaan Al-Quran, terutamanya dalam bulan yang mulia ini.


