Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 ahli sukarelawan dihargai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Seramai 40 orang ahli Kumpulan Sukarelawan Pertolongan Cemas Filipina Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah menerima sijil penghargaan dalam majlis yang berlangsung di K-Hub Level 01-03, Annajat, Kampung Mata-Mata, Beribi, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada para sukarelawan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio.

    Turut hadir ialah Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, Ir Simon K A Leong serta para sukarelawan yang diraikan.

    Dalam kata alu-aluannya, Ir Simon Leong menyatakan, majlis itu dihasratkan untuk meraikan dan memberikan penghargaan atas sumbangan berharga para sukarelawan yang komited bagi menghulurkan bantuan.

    PYT Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio menyampaikan sijil kepada salah seorang sukarelawan yang diraikan pada majlis yang berlangsung di K-Hub Level 01-03, Annajat, Kampung Mata-Mata, Beribi, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Ir Simon Leong semasa menyampaikan kata alu-aluan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dedikasi para sukarelawan, tambahnya, dapat disaksikan semasa bertugas pada Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) baru-baru ini di mana mereka berkhidmat dengan penuh ketekunan sebagai ahli pertolongan cemas yang berkelayakan.

    Dalam hubungan itu, sumba-ngan dan ketekunan yang ditunjukkan oleh mereka perlu dihargai dan diiktiraf, ulas beliau lagi.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para sukarelawan yang disempurnakan oleh PYT Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio di mana kehadirannya menunjukkan sokongan teguhnya kepada kejayaan sukarelawan dalam menyumbang bakti kepada usaha kemanusiaan dan pertolongan cemas di negara ini.

    Kumpulan Sukarelawan Per-tolongan Cemas Filipina Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan komitmen dalam membantu masyarakat tempatan dalam keadaan kecemasan.

    Semasa Sambutan Ulang Tahun HK40, baru-baru ini, mereka telah berkhidmat sebagai ahli pertolongan cemas yang berkelayakan.

    Melalui latihan dan kepakaran kumpulan itu, mereka telah menjadi aset yang penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

    Acara itu juga menekankan harapan bagi penubuhan Kumpulan Sukarelawan Kemanusiaan Filipina Bulan Sabit Merah secara rasmi pada masa akan datang dan mengajak untuk mengukuhkan komitmen dalam memupuk budaya sukarelawan dan perkhidmatan komuniti dengan matlamat membina masa depan yang lebih inklusif bagi generasi akan datang.

    PBSM amat menghargai soko-ngan yang diberikan oleh Kedutaan Filipina dalam mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

    Persatuan berkenaan berharap bahawa kerjasama berkenaan akan terus berlanjut dan membawa manfaat kepada kedua-dua komuniti serta memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda