Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 asnaf fakir miskin terima daging korban

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Seramai 40 orang Asnaf dan Fakir Miskin pagi tadi menerima agihan daging korban yang dikelolakan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa  Takmir Masjid Kampung Kilanas di Majlis Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha 2024.

    Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Pada tahun ini, dari hasil penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah masjid dan penduduk kampung sebanyak enam ekor kerbau dikorbankan, hasil daripada 32 orang peserta Ibadah korban.

    Antara lain tujuan utama Majlis Ibadah Korban itu diadakan adalah bagi menjalankan aktiviti tahunan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas, menggalakkan penduduk kampung dan jemaah Masjid Kilanas untuk mengerjakan ibadah sunat berkorban sebagaimana yang dianjurkan dalam ugama Islam bagi meraih pahala dan berkat yang terdapat di dalamnya dan untuk membantu dan memudahkan penduduk Kampung bagi melaksanakan ibadah korban dengan lebih sempurna.

    Di samping itu juga, majlis tersebut juga dapat memupuk semangat bergotong-royong dan kerjasama serta perpaduan dalam mengungkayah perlaksanaan pembahagian dan pengagihan daging-daging korban.

    Dalam masa yang sama, menggalakkan masyarakat kampung untuk mengimarahkan masjid dan sekaligus memupuk semangat kerjasama dan merapatkan tali silaturahim di antara penduduk di Kampung Kilanas dan sekitarnya.

    Dengan tidak secara langsung, aktiviti majlis ibadah korban tersebut juga dapat menyerlahkan fungsi masjid sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab bagi sama-sama menyemarakkan syiar Islam di Negara ini.

    Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda