Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 27 JAN – Seramai 40 atlet muda menyertai Program Big Kem Excel Perlumbaan Mini Olahraga yang berlangsung di Balapan & Padang Kolej Anthony Abell (AAC), kelmarin.
Acara yang dianjurkan oleh Projek Big Kem dengan kerjasama AAC dan Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait, bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyertai sukan kompetitif dalam persekitaran yang positif.
Selain itu, acara tersebut juga membantu memupuk kecergasan fizikal, membina keyakinan, dan menggalakkan kerja berpasukan di samping mengenal pasti bakal atlet masa depan.
Acara berkenaan juga adalah sebahagian daripada misi Big Kem untuk memupuk bakat muda, menyemai minat untuk bersukan, dan menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat sejak kecil.
Sepanjang acara itu, para peserta yang mengambil bahagian telah bertanding dalam beberapa siri acara olahraga utama, termasuk larian pecut merentasi pelbagai jarak meliputi 30 meter (m), 60m, 100m, 150m, dan 200m dan acara lompat jauh.
Acara turut dibahagikan kepada empat kumpulan umur iaitu enam tahun ke bawah (Permulaan), tujuh hingga lapan tahun (Junior), sembilan hingga 10 tahun (Pertengahan), dan 11 hingga 12 tahun (Senior), memastikan platform yang sesuai dan inklusif dengan umur untuk semua peserta.
Pihak penganjur juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih atas keterujaan hadirin, khususnya sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa dan guru di mana ia telah mewujudkan suasana meriah yang dapat memberi semangat kepada atlet muda untuk beraksi dengan baik.
Acara tersebut diakhiri dengan penyampaian anugerah dan pingat kepada para pemenang.
Projek Big Kem berharap akan dapat menganjurkan lebih banyak program pada masa hadapan untuk terus memberi inspirasi kepada kecemerlangan dan menyatukan masyarakat.