Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 barang antik dipulangkan ke Itali

    NEW YORK, 9 OGOS – Pihak berkuasa New York kelmarin telah mengembalikan puluhan barang antik yang dicuri bernilai hampir AS$3.5 juta kepada Itali, ketika megapolis Amerika itu berusaha untuk memperbaiki reputasi sebagai hab global utama untuk perdagangan seni haram.

    Pegawai penyiasat mengembalikan semula 42 barang antik luar istimewa, yang berusia kira-kira 2,500 tahun kepada pegawai Itali semasa majlis di New York, menurut kenyataan daripada Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg.

    “Kami terus membatalkan imej negatif yang berpunca daripada rangkaian penyeludupan barang antik yang terancang selama beberapa dekad di seluruh Itali,” kata Bragg, sambil menambah lebih 200 barang antik telah dihantar pulang ke Itali sejak beliau memegang jawatan itu pada 2022.

    Komander Skuad Seni Carabinieri kerajaan Itali, Vincenzo Molinese memuji kejayaan besar hasil kerjasama siasatan antara Amerika Syarikat (AS) dan Itali.

    Antara karya yang ditemui dan dikembalikan ialah pasu dari wilayah Apulia di selatan Itali yang wujud sejak 335 sebelum masihi (SM). Ia dicuri dari tapak perkuburan sebelum diseludup ke luar negara oleh seorang pengedar barangan antik Itali yang terkenal, Giacomo Medici, menurut pendakwa raya.

    Selepas melalui London, mangkuk itu, yang digunakan untuk mencampur air dan wain, telah dirampas pada Julai daripada koleksi peribadi di New York bulan lalu.

    Sejak 2017, pendakwa raya New York telah menghantar pulang barang antik yang dirampas dari kira-kira 20 negara antara tahun 1970an dan 1990an.

    Barangan antik tersebut termasuk karya-karya dari zaman Yunani purba, empayar Rom dan Byzantine, Iraq, China, India dan Asia Tenggara. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda