Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 beliawanis sertai Program Perkampungan Belia Syumul

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seramai 40 orang beliawanis berumur lingkungan 18-25 tahun menyertai Program Perkampungan Belia Syumul yang diadakan selama tiga hari dua malam bermula hari ini hingga 28 Februari.

    Para peserta program yang diungkayahkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Unit Belia Bahagian Penyebaran Dakwah berkenaan termasuk mahasiswi dari beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta orang perseorangan.

    Hadir bagi merasmikan program yang diadakan di Bangunan Darul Huda, PDI itu ialah Pemangku Pengarah PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Tetamu kehormat dalam ucapannya menyatakan bahawa program tersebut telah diangkat ke peringkat kementerian menerusi Program Keagamaan Belia di bawah KHEU yang telah dilancarkan sebelum ini.

    “Perkataan ‘Syumul’ di dalam Perkampungan Belia Syumul ini bermaksud menyeluruh. Sebagai belia negara ini, kita tidak boleh terlalu fokus pada satu perkara seperti melakukan riadah untuk kesihatan tubuh badan sahaja akan tetapi sembahyang dilalaikan.

    Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah semasa menghadiri perasmian Program Perkampungan Belia Syumul.

    “Kita hendaklah meluaskan lagi skop kehidupan kita merangkumi dalam daya pemikiran, kesihatan fizikal serta ketenangan rohani kita, dengan merangkumkan kesemua aspek kehidupan agar dapat melahirkan generasi belia yang berkredibiliti tinggi, berwibawa serta dapat memimpin dan menanai tanggungjawab seperti slogan yang sering dilaungkan iaitu ‘Belia Harapan Bangsa’ dengan perubahan sasaran peserta pada tahun ini iaitu peserta terdiri daripada Muslimah,” jelas Haji Abdul Rajid.

    Program berkenaan diisikan dengan aktiviti membina pasukan, aktiviti kepimpinan, menghalusi pergerakan dan bacaan sembahyang, tazkirah, Qiamullail, persembahan malam keagamaan dan khidmat masyarakat di Kampung Batu Marang.

    Antara tujuan program adalah untuk menanai semangat juang dan jati diri dengan meningkatkan ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan belia sekali gus membentuk modal insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani, disiplin dan intelek sebagai persediaan mengharungi masa depan.

    Dalam pada itu juga, ia mampu melahirkan insan mulia yang akan menjadi pembimbing rakan sebaya dalam menghadapi masalah dan membanteras gejala negatif, menyemai semangat bekerjasama dalam satu pasukan serta masyarakat tidak kira bidang apa yang diceburi serta meningkatkan keupayaan, disiplin dan jati diri belia dalam menghadapi apa juga suasana dan cabaran dalam era globalisasi.

    Perkampungan berkenaan diharap akan dapat mencapai objektif dan peranan Unit Belia untuk melahirkan belia yang beriman, berakhlak, berilmu, berupaya berkemahiran, berdedikasi integriti, berkualiti, produktif dinamik dan kreatif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda