Friday, October 18, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    40 diiktiraf jurulatih pertolongan cemas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seramai 40 orang yang mengikuti Latihan Pensijilan Pertolongan Cemas Dalam Komuniti dan seterusnya Kursus Jurulatih Pertolongan Cemas Dalam Komuniti telah menerima sijil tamat latihan pada Majlis Tauliah Pensijilan Jurulatih Program Kecemasan Dalam Komuniti di CAE Brunei MPTC, Rimba, baru-baru ini.

    Hadir menyampaikan sijil-sijil ialah Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Dayang Ruhaidah binti Haji Rusli.

    Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam selaku penganjur Program Pertolongan Kecemasan Dalam Komuniti amat berbangga dengan pencapaian yang telah sama-sama diraih oleh 40 orang peserta yang berjaya mendapatkan pengiktirafan sebagai jurulatih pertolongan cemas dalam komuniti yang diiktiraf oleh PBSM Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

    Program berkenaan merupakan salah satu projek utama PBSM yang memainkan peranan sebagai auxiliari kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam menyediakan kemahiran dan kompetensi kesejahteraan dan keselamatan awam terutama sekali dalam kaedah menyelamat nyawa.

    Menurut kenyataan yang diberikan, kesiapsiagaan berdepan dengan kecemasan dan kemalangan merupakan satu keutamaan yang perlu ada pada setiap komuniti masyarakat di mukim dan kampung.

    Program berkenaan juga yang pertama kalinya dianjurkan oleh PBSM Negara Brunei Darussalam di luar daripada pegawai dan kakitangan serta ahli dan sukarelawan persatuan itu.

    Seramai 40 orang jurulatih yang mewakili empat daerah akan memainkan peranan dan tanggungjawab utama untuk melatih seramai 1,000 orang atau lebih daripada masyarakat mukim dan kampung yang terdiri daripada para belia dalam memberikan kemahiran pertolongan cemas dan asas menyelamat nyawa.

    Jurulatih-jurulatih yang kompeten dan berdaya maju di setiap daerah akan dapat memastikan sasaran 1,000 pensijilan pertolongan kecemasan dalam komuniti dicapai pada penghujung tahun ini.

    Dayang Ruhaidah bergambar ramai bersama para peserta yang diraikan pada majlis yang berlangsung baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda