PARIS, 4 MEI – Jumlah orang yang menghadapi kebuluran meningkat kepada 193 juta tahun lalu ketika konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi menjejas mata pencarian penduduk, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Sementara pakar telah mengingatkan bahawa perang Rusia di Ukraine mungkin mencetuskan kebuluran, FAO berkata dalam laporan tahunan bahawa hampir 40 juta penduduk lagi telah mengalami ‘kekurangan makanan akut’ pada 2021.
Di antara 53 negara yang berdepan masalah itu, negara paling teruk terkesan termasuk Republik Demokratik Congo, Etiopia, Yaman dan Afghanistan di mana jutaan penduduk berdepan kelaparan selepas negara terjerumus dalam krisis kewangan berikutan pengambilalihan Taliban pada 2021.
PBB mentakrifkan ‘kekurangan makanan akut’ sebagai apabila seseorang tidak mendapatkan jumlah makanan yang mencukupi dan keadaan itu mengancam nyawa atau kelangsungan hidup secara serta-merta.
“Ia adalah situasi kelaparan yang berisiko berubah kepada kebuluran dan mengakibatkan kematian beramai-ramai,” kata FAO.
Jumlah tersebut telah meningkat mendadak sejak laporan pertama disiarkan oleh FAO, Program Makanan Sedunia dan Kesatuan Eropah pada 2016. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P13-Gambar-WEB-tuk-40-juta_05052022.jpg)