Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Seramai 40 buah keluarga dari kalangan asnaf fakir dan miskin Kampung Kilanas telah menerima sumbangan derma di Majlis Program Berbagi Rezeki Sempena Menyambut Bulan Ramadha anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas pagi tadi.
Projek Berbagi Rezeki Sempena Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1446H merupakan aktiviti bagi membantu meringankan beban saudara dan sahabat yang tergolong dalam asnaf (fakir miskin) yang berdaftar dengan pihak kerajaan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan sumbangan berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.
Menurut kenyataan,sumbangan yang disampaikan adalah berupa barang-barang makanan asasi seperti beras, gula, tepung, minyak masak, makanan dalam tin, biskut dan seumpamanya.
Program berkenaan telah dibukakan kepada Ahli Jawatankuasa Takmir masjid berkenaan dan juga kepada ahli keluarga serta sahabat handai yang berhasrat untuk sama-sama beramal melalui infaq’ dan sumbangan yang bermula sejak 11 Februari sehingga 22 Februari lalu.
Pengerusi Majlis, Imam Awang Mohd Redzuan bin Haji Marzuki dan Ahli Jawatankuasa Takmir masjid berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah menyokong program berkenaan berikutan daripada hasil sumbangan yang menggalakkan.
Adalah diharapkan supaya program berkenaan dapat menjadi dorongan kepada masyarakat umum untuk beramal melalui sumbangan infaq dan sedekah kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan dan Syawal nanti.
Antara yang menerima sumbangan berkenaan.