Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Sabre Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Seramai 40 pemimpin industri pelancongan termasuk Sabre Travel Network (Brunei) Sdn Bhd telah berhimpun dalam acara amal, Dine and Donate bagi mengumpulkan derma untuk Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara pada majlis yang diadakan di Restoran Emperor’s Court.
Menurut kenyataan Sabre Brunei, acara anjuran restoran tersebut turut disertai rakan kongsi dari Bank Baiduri, Cityneon Brunei, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Singapore Airlines.
Pengurus Besar Sabre Brunei, Irene Soon antara lain menjelaskan sebagai sebuah penyedia teknologi terkemuka untuk industri pelancongan Brunei, Sabre teruja untuk menyokong inisiatif yang dianjurkan oleh Restoran Emperor’s Court sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat Sabre Brunei.
Acara seumpama itu, jelasnya, memberikan platform bagi anggota industri untuk membuat rangkaian dan bertukar-tukar pendapat mengenai trend industri utama setelah lebih setahun tanpa aktiviti perjumpaan fizikal dalam industri pelancongan.
“Apa yang paling penting lagi, perjumpaan itu memberi peluang kepada tetamu yang hadir untuk menyumbang kepada Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara,” tambahnya.
Sementara itu Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Mohamed turut mengulas bahawa sudah sekian lama tidak ada aktiviti fizikal seperti itu di antara mereka dan ia merupakan peluang hebat untuk bertemu dengan Sabre dan membincangkan trend industri terkini sesama mereka dan juga menyumbang kepada tujuan yang sangat bernilai itu.

