Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Dalam suasana penuh perpaduan, persahabatan dan ikatan kekeluargaan yang erat, lebih 40 orang penduduk kampung sekitar Kampung Tungku dan Katok bersama-sama mengambil bahagian dalam Walkaton Hijrah yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku dan Katok, pagi tadi.
Acara yang dianjurkan bersama oleh Masjid Pengiran Muda Abdul Malik dan Majlis Perundingan Kampung Tungku dan Katok dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Ketua Kampung Tungku dan Katok, Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan serta penduduk-penduduk Kampung Tungku dan Katok.
Sebelum acara walkaton yang juga turut diadakan bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2025 dimulakan, sesi memanaskan badan diadakan dan kemudian diteruskan dengan acara walkaton sejauh 2.4 kilometer yang bermula serta berakhir di masjid berkenaan.
Terdahulu, satu sesi ceramah hijrah bertajuk Hijrah dalam Konteks Kekeluargaan turut disampaikan di mana antara inti pati ceramah ialah hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain seperti dilakukan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah tetapi bermakna perpindahan dari keadaan yang buruk ke keadaan yang lebih baik.
Hijrah juga bermaksud dari kebiasaan yang tidak diredhai Allah menuju kehidupan yang lebih taat dan diberkati dan dalam konteks keluarga, hijrah bererti membawa seluruh anggota keluarga menuju kehidupan yang lebih Islamik, harmoni dan penuh berkat, menurut ceramah tersebut.

Semua di atas: Antara suasana walkaton tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

