Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seramai 40 pemimpin pengakap tunas dan pengakap muda menyertai Perkhemahan Kursus Asas Manikayu yang dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).
Kursus selama tiga hari itu berlangsung bermula 11 hingga 13 Ogos di Tapak Latihan dan Perkhemahan Pengakap.
Majlis penutup kursus diisi dengan pelbagai acara termasuk ucapan wakil peserta, laporan ketua kursus, penyampaian sijil penghargaan dan sijil penyertaan kursus oleh tetamu kehormat, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin; serta ucapan penutup tetamu kehormat.
Selain itu, upacara memakai Woggle Gilwell dan menurunkan bendera turut diadakan bagi menandakan rasmi penutup kursus.
Semasa kursus tersebut, para peserta telah mengikuti 40 sesi latihan yang dibahagikan kepada lima modul, bertujuan memberikan latihan asas dalam aspek kepimpinan, pengurusan aktiviti, serta pemahaman falsafah dan matlamat pergerakan pengakap.
Kursus tersebut selaras dengan visi PPNBD untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berkemahiran tinggi.
Dengan selesainya kursus ini, para peserta diharap dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk memperkasa lagi program pengakap di peringkat masing-masing serta menjadi contoh teladan kepada ahli-ahli pengakap muda.


