Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Sebagai tanda kesungguhan mengangkat martabat masjid sebagai pusat pembinaan sahsiah belia, seramai 400 peserta membanjiri Masjid Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Kampung Jerudong pada awal pagi bagi menyertai Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardhu Subuh Berjemaah di Masjid Tahun 1447H/2025M yang berlangsung penuh keberkatan bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-20.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad. Turut hadir, Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha-setiausaha tetap serta pegawai kanan dari KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah diimamkan oleh Haji Muhd Amaluddin bin Haji Jamaluddin, Imam Masjid Al-Ameerah Al Hajjah Maryam dan diikuti dengan Tazkirah Subuh bertajuk Belia Siaga Masa Depan yang disampaikan oleh Ustaz Haji Awang Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah.
Acara Wira Fajar turut diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi dipimpin oleh Awang Muhammad Nur Hazim Wafiuddin bin Haji Kamaruzaman, Ketua Belia Masjid Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, serta bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Haji Muhd Amaluddin. Program diakhiri dengan Sembahyang Dhuha.
Acara anjuran KKBS melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU dan Belia-Belia Masjid itu dihasratkan dapat memupuk kesedaran pentingnya solat berjemaah serta pengisian aktiviti keagamaan yang bermanfaat dalam kalangan belia.
Selaras dengan tema Belia Siaga Masa Depan, para belia diseru agar dalam mengejar pembangunan dan kemajuan diri, tidak mengabaikan pengukuhan agama dan nilai spiritual sebagai asas kukuh kehidupan.


