KUCHING, 2 OGOS – Kira-kira 400 peserta yang terlibat dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak gigih berlatih semasa raptai akhir hari ini bagi memastikan persembahan yang menarik esok.
Raptai yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak Jaafar Jantan itu menyaksikan persembahan War Cry oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia, selain Fire Cry oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pasukan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, JAPEN dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut sama menggilap persembahan mereka sebagai persiapan akhir untuk majlis yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini.
Majlis pelancaran anjuran JAPEN dengan kerjasama PDRM dan Bintulu Port Holdings Berhad itu akan turut diisi dengan bacaan ikrar Rukun Negara dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang melibatkan 35 kenderaan agensi kerajaan dan swasta.
Konvoi itu akan memulakan pergerakan mereka melalui beberapa lokasi di bandar raya ini sebelum meneruskan perjalanan ke bahagian utama di Sarawak hingga Sipitang di Sabah. – Bernama