Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    400 mangsa banjir di Limbang ditempatkan di pusat pemindahan

    Oleh Arissa

     

    LIMBANG, 27 Feb – Seramai 400 orang mangsa banjir membabitkan 16 anak damit dan 112 orang kanak-kanak dari kawasan Medamit masih berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Medamit setakat tengah hari ini.

    Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Edmund Dmahai Amboh berkata mangsa telah dipindahkan selepas beberapa kawasan dan rumah panjang di hulu Medamit dinaiki air akibat hujan lebat yang berlaku sejak Sabtu lepas.

    Beliau memberitahu laporan awal yang diterima oleh pihaknya pada Ahad lepas membabitkan rumah panjang Assan di Semena, selain empat buah rumah persendirian.

    Sehingga semalam, katanya, laluan ke rumah Assan tidak dapat dilakukan berikutan halangan jambatan yang tidak dapat dilalui kenderaan akibat paras air yang naik secara mendadak.

    Air naik di Kampung Pengkalan Madang, kelmarin.
    Air naik di Kampung Pengkalan Madang, kelmarin.

    “Keadaan air yang semakin tinggi sejak kelmarin di beberapa rumah panjang dan hujung Jalan Medamit menyebabkan pusat pemindahan dibuka di Dewan Medamit bermula jam 2 petang kelmarin,” katanya di sini, hari ini.

    Edmund berkata urusan bantuan, kemudahan dan bantuan makanan kepada mangsa banjir berjalan dengan lancar, di mana ia telah melibatkan agensi kerajaan lain dan agensi penguatkuasaan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan sebagainya.

    “Pemantauan dan tinjauan diteruskan semalam di kawasan hilir Medamit, agihan bantuan makanan ke rumah Imbol serta bilik gerakan pusat pemindahan diarah siap siaga khususnya di Kampung Bidang, kawasan Batu Danau,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda