VIENNA, 27 JULAI – Sekitar 400 penumpang kereta api laju diselamatkan selepas tren yang dinaiki mengalami kerosakan teknikal dan terhenti dalam sebuah terowong berhampiran Vienna, menurut jurucakap pengendali kereta api Austria, OBB kelmarin.
Penumpang terkandas selama beberapa jam dalam gerabak yang sebahagiannya bergelap dan tidak mempunyai penyaman udara, selepas tren itu terhenti secara tiba-tiba di dalam terowong, lapor agensi akhbar Jerman dpa memetik laporan agensi berita APA.
Tren berkenaan berlepas ke Hamburg, Jerman pada 1:13 petang dan kerosakan dikesan kira-kira 17 minit kemudian pada 1:30 petang, kata jurucakap OBB.
Kesemua penumpang kemudiannya dipindahkan ke kereta api lain dengan bantuan pasukan penyelamat.
Sementara itu, jurucakap syarikat kereta api Jerman, Deutsche Bahn, menjelaskan bahawa kerosakan teknikal berlaku di laluan yang dikendalikan oleh Syarikat Kereta Api Persekutuan Austria (OBB). – Bernama
