Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    400 petak gerai Ramadan jadi tumpuan

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Bulan Ramadan setentunya bukan sahaja menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat yang dilakukan, malah membukakan pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang ingin mencari rezeki khususnya bagi para peniaga dan penjaja.

    Setiap kali datangnya bulan Ramadan, gerai-gerai Ramadan yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa tumbuh bak cendawan selepas hujan dan akan menjadi tumpuan orang ramai yang mencari juadah bersungkai terutama pada hari pertama umat Islam di negara ini berpuasa.

    Kawasan letak kereta di perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang lazimnya lengang tanpa pengunjung terasa berbeza pada bulan Ramadan dan bertukar menjadi tumpuan orang ramai khususnya bagi masyarakat di negara ini yang beragama Islam lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di Daerah Brunei dan Muara untuk membeli juadah berbuka puasa.

    Sejak bertahun-tahun yang lalu, kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah ini telah dijadikan sebagai tapak gerai Ramadan yang menempatkan ratusan petak gerai jualan makanan yang dibuka seawal jam 2 petang.

    Lokasinya yang terletak berhampiran kawasan pejabat jabatan kerajaan menjadikannya destinasi pilihan bagi mereka untuk membeli juadah berbuka puasa.

    Sebahagian daripada peniaga gerai Ramadan di kawasan letak kereta perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas sedang menyediakan juadah untuk berbuka puasa, kelmarin. – Gambar Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan
    Orang ramai mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli juadah sungkai di gerai tersebut.
    Antara juadah sungkai yang menarik perhatian pengunjung yang datang ke Gerai Ramadan Belia di kawasan letak kereta perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Gerai Ramadan yang juga dikenali sebagai Gerai Ramadan Belia anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kali ini dikelolakan oleh syarikat tempatan, FS Create Company.

    Semasa ditemui pihak Media Permata petang tadi, Pengurus Projek FS Create Company, Awangku Fairul Alinor bin Pengiran Haji Hamlin memberitahu kali ini sebanyak 400 petak gerai jualan telah dibukakan dan hampir 90 peratus daripada mereka adalah kalangan peniaga belia tempatan sama ada yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau yang pernah menyertai gerai Ramadan sebelum ini.

    Pelbagai tawaran makanan yang menarik dengan harga serendah $1 menjadikan gerai makanan tersebut gerai nombor satu di negara ini setiap bulan Ramadan.

    “Setiap tahun, saya akan ke gerai Ramadan ini bersama keluarga dan rakan-rakan memandangkan gerai di sini menawarkan pelbagai pilihan seperti kuih-muih dan lauk untuk penyungkaian kami sekeluarga berbanding tempat-tempat lainnya,” jelas salah seorang pengunjung wanita petang tadi.

    Sementara itu, Dayang Nursyarina, salah seorang peniaga belia yang turut menjalankan perniagaan bersama keluarganya sejak bertahun-tahun dahulu ketika ditemui Media Permata menyatakan yang sambutan daripada kalangan pengunjung tahun ini sangat positif tidak kurang ramainya berbanding tahun-tahun sebelum ini dan berharap sambutan yang menggalakkan tersebut akan berterusan sehingga penghujung Ramadan kali ini.

    Dalam pada itu, tahap kebersihan amatlah dititikberatkan dengan tempat pembuangan sampah disediakan di kawasan berkenaan bagi memastikan tahap kebersihan di sana sentiasa terjaga.

    Selain kemudahan tempat pembuangan sampah, pihak pengurusan gerai turut menyediakan surau bagi kemudahan para pengunjung dan penjaja agar dapat melaksanakan kewajiban menunaikan solat fardu di sana.

    Khemah beristirahat juga disediakan sebagai tempat berteduh daripada bahang cuaca panas atau sebagai persediaan sekiranya hujan turun. Kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik juga disediakan di sekitar gerai Ramadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda