Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    400 syarikat dijangka sertai Hari Eksport Sarawak

    KUALA LUMPUR, 23 JUN – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan penyertaan 400 syarikat Malaysia untuk meneroka peluang eksport baharu menerusi Hari Eksport Sarawak 2025 yang berlangsung pada 2 hingga 3 Julai nanti di Kuching, Sarawak.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, penganjuran hari eksport itu merupakan usaha penting bagi membuka peluang-peluang baharu kepada lebih ramai usahawan negeri berkenaan serta mempersiapkan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.

    “Sarawak mempunyai prestasi eksport yang luar biasa dan daya tahan ekonomi yang mengagumkan.

    “Hari Eksport Sarawak 2025 ini akan menampilkan sesi panel serta peluang jaringan perniagaan yang direka untuk melengkapkan pengeksport dengan maklumat pasaran terkini serta kemudahan perdagangan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata Hari Eksport Sarawak 2025 merupakan satu acara bersejarah yang bukan sahaja meraikan pencapaian eksport Sarawak tetapi juga merangsang pertumbuhan dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas.

    Pada 2024, Sarawak mencatatkan nilai eksport sebanyak RM116.8 bilion, meningkat 3.82 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Ini menjadikan Sarawak sebagai negeri keempat terbesar dalam sumbangannya kepada eksport negara.

    Antara barangan utama eksport Sarawak termasuk bahan api dan pelincir mineral (58.9 peratus), barangan perkilangan (16.0 peratus), minyak, lemak haiwan dan sayuran (14.7 peratus) serta mesin dan kelengkapan pengangkutan (5.2 peratus). – Bernama

    Menurut Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, pengajuran tersebut merupakan usaha penting bagi membuka peluang-peluang baharu kepada lebih ramai usahawan negeri berkenaan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda