BEIJING, 29 APRIL – Kira-kira 400 tan minyak tumpah ke Laut Kuning selepas kapal tangki berlanggar dengan kapal lain di luar pelabuhan penerima minyak mentah terbesar China awal minggu ini, kata pihak berkuasa maritim hari ini.
Pentadbiran Keselamatan Maritim Shandong, dalam satu makluman di media sosial, berkata jumlah minyak tumpah daripada kapal itu ke laut itu kira-kira 400 tan dan kerja pembersihan sedang giat dilakukan.
“Pelanggaran tersebut tidak menjejaskan operasi kapal lain yang memasuki dan meninggalkan pelabuhan Qingdao,” katanya.
Menurutnya lagi, sebanyak 12 kapal pembersihan pencemaran dikerah untuk membersihkan tumpahan minyak yang berlaku di sekitar 40 batu nautika di luar pantai dari pelabuhan di timur laut China.
Menurut kenyataan terdahulu oleh pihak pengurusan kapal, Goodwood Ship Management, kapal pengangkut pukal Panama, Sea Justice, melanggar kapal tangki minyak Liberia, A Symphony, dekat Qingdao kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu, menyebabkan kapal tangki kehilangan ‘sejumlah minyak’.
“Semua anak kapal sudah diperiksa dan disahkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Akhbar China Global Times, yang memetik seorang pegawai Pentadbiran Keselamatan Maritim (MSA) melaporkan kargo dilabel sebagai ‘campuran bitumen’ tetapi perlukan ujian lanjut bagi mengesahkannya. – AFP