BANGKOK, 15 MEI – Lebih 400 penduduk Myanmar melarikan diri ke sempadan Thailand hari ini selepas kumpulan bersenjata etnik minoriti menyerang pangkalan junta tentera menggunakan dron, menurut angkatan tentera Thailand.
Myanmar dilanda perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan konflik antara tentera junta dengan kumpulan gerila pro-demokrasi serta kumpulan bersenjata etnik yang telah lama bergiat di kawasan sempadan.
Pertempuran banyak tertumpu di kawasan lintasan sempadan yang penting untuk kutipan dana melalui kawalan laluan perdagangan dan penyeludupan.
Tentera Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen dan Pertubuhan Pertahanan Kebangsaan Karen telah “menggunakan dron tanpa pemandu untuk melancarkan serangan bom” ke atas sebuah pangkalan sempadan junta sekitar jam 4:45 pagi.
“Seramai 414 orang pelarian dari Myanmar merentas ke sebelah Thailand” berhampiran kawasan Mae La di wilayah Tak, kira-kira 400 kilometer barat laut Bangkok, kata kenyataan itu.
Kesemua pelarian tersebut ditempatkan di sebuah kuil dan biara berhampiran, manakala rondaan tentera Thailand di kawasan sempadan telah dipertingkatkan. – AFP


