400 Wira fajar imarahkan masjid

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KKBS

TUTONG, 25 SEPT – Seramai 400 orang terdiri daripada belia, ahli jawatankuasa takmir masjid, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk sekitar Kampung Bukit Panggal hari ini menyertai Program Sembahyang Subuh Berjemaah Wira Fajar Belia ke-2 di Masjid Ar-Rahim, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada program anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan belia-belia masjid itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap di KKBS Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Program diisikan dengan sembahyang Subuh berjemaah diikuti dengan tazkirah Subuh bertajuk ‘Ciri-ciri Pendidikan Islam’ disampaikan oleh Ketua Unit Penguatkuasaan Ugama Daerah Belait, Haji Khairulizam bin Haji Jefrey, bacaan Surah Al-Kahfi dan diakhiri dengan sembahyang Dhuha.

Program tersebut dihasratkan dapat mendidik para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada mereka untuk memanfaatkan masa dan melakukan aktiviti keagamaan di masjid-masjid.

Selain Daerah Tutong, program itu juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain bagi menggalakkan belia mengimarahkan masjid dan orang ramai dialu-alukan bersama memeriahkan program itu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menunaikan sembahyang Fardhu Subuh berjemaah di Masjid Ar-Rahim, Tutong.
Tazkirah Subuh bertajuk ‘Ciri-ciri Pendidikan Islam’ yang disampaikan oleh Haji Khairulizam.