KUALA LUMPUR, 1 Nov– Siri Kejohanan Powerman Asia Dualthlon terbesar dunia akan kembali semula ke Dataran Putrajaya tahun depan dengan bekas juara dua kali, Thomas Bruins dari Belanda mengesahkan penyertaan untuk memburu gelaran hatrik.
Menurut penganjur, E-Plus Global Sdn Bhd, lebih 4,000 peserta tempatan dan asing dijangka mengambil, bahagian dalam perlumbaan larian-berbasikal-larian ini.
“Jumlah peserta di Malaysia dan rantau Asia kini bertambah secara ketara. Ini terbukti dengan peningkatan atlet pelari dan berbasikal yang menyertai kejohanan ini di Malaysia. Justeru, kami akan meneruskan usaha untuk menyediakan platform berkualiti untuk peserta bersaing,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andrew Ching, dalam kenyataan di sini hari ini. Kejohanan tahun depan akan berlangsung pada 4 Mac.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Bruins, atlet dualthon ranking kedua dunia, berkata beliau seronok bertanding di Malaysia kerana menampilkan persekitaran yang unik berbanding perlumbaan di negara-negara lain.
Di samping itu, katanya, kehadiran jumlah atlet perfesional yang ramai menyuntik semangat beliau untuk memperagakan aksi yang lebih baik.
“Saya akan kembali semula tahun depan dan saya berharap untuk mempertahankan gelaran serta memperbaiki kedudukan ranking dunia,” katanya.
Kejohanan Powerman Asia Duathlon mengandungi empat kategori – Individual Classic dan Classic Team Relay (larian sejauh 10km-60km berbasika-10km larian) dan Individual Short serta Short Team Relay (larian 5km-30km berbasikal-5km larian).
Bagi menggalakkan penyertaan di peringkat akar umbi, pihak penganjur telah memperkenalkan kategori khas – PowerKIDS, sehari sebelum kejohanan tersebut. Kategori khas itu dibahagian kepada tiga kumpulan peringkat umur – 5 hingga 7 tahun (0.4km-1km-0.4km), 8-10 tahun (0.8km–2km–0.8km) dan 11 hingga 12 tahun (1.2km–3km–1.2km). – Bernama