Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Sehingga hari ini, lebih 4,000 sukarelawan telah mendaftar di bawah Sukarelawan Belia termasuk 400 pendaftaran sejak 7 Ogos 2021.
Pada ketika ini, lebih 400 sukarelawan ditugaskan secara harian di beberapa buah lokasi di seluruh negara untuk menghulurkan khidmat di pusat-pusat ujian swab dan vaksinasi, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), hospital dan klinik, perhotelan dan pusat pengagihan makanan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan perkara itu semasa berkongsi perkembangan mengenai pergerakan sukarelawan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut beliau lagi, para sukarelawan juga telah ditugaskan bagi penghantaran catuan makanan ke rumah-rumah individu di bawah Perintah Kuarantin atau menjalani pengasingan diri.
“Sejak 11 hingga 19 Ogos, mereka telah menghantar catuan makanan ke 840 buah rumah bagi menampung 5,129 individu,” kongsi beliau.

Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk sama-sama menghulurkan khidmat bakti.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang Sukarelawan Belia (www.sukarelawanbelia.com) atau aplikasi Mengalinga dan talian hotline 8913762.
“KKBS sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan daripada pelbagai peringkat masyarakat khususnya para belia termasuk persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil ke hadapan untuk sama-sama menangani wabak COVID-19 sejak Mac 2020,” ujar beliau menyampaikan penghargaan kepada para sukarelawan.
Menyentuh mengenai Sistem Kebajikan Negara (SKN), Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, seramai 17,868 orang telah mendaftar bagi SKN sejak ianya dilancarkan pada 15 Julai 2020.
“Daripada jumlah ini, 15,886 telah membuat permohonan bagi pene-rimaan bantuan sama ada daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) atau Majlis Ugama Islam (MUIB).
Sejak 7 Ogos 2021, sebanyak 235 permohonan bantuan telah dibuat melalui SKN,” kongsi Yang Berhormat Dato.
Kepada orang ramai yang berhasrat untuk memohon bantuan adalah dinasihatkan untuk melakukannya secara dalam talian melalui laman sesawang SKN iaitu www.skn.gov.bn.
Jika ada sebarang pertanyaan, orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi Talian Kebajikan 141 atau 2382911 sambungan 1249.