Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    404 bakal graduan IBTE dirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seramai 404 orang bakal graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang julung-julung kalinya diadakan secara keseluruhan bagi semua kampus di bawah kawalan IBTE.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Teknik, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, timbalan-timbalan ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua sekolah IBTE dan para pegawai dan kakitangan IBTE.

    Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan bakal graduan IBTE yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka sempena majlis konvokesyen ke-26 yang akan berlangsung pada 25 Oktober nanti.

    Selain itu, ia juga diadakan untuk membudayakan warga IBTE dengan semangat perpaduan dalam mengendalikan majlis yang penuh keberkatan.

    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz hadir selaku tetamu kehormat pada majlis khatam Al-Quran bagi bakal graduan IBTE.
    Majlis khatam Al-Quran bagi bakal-bakal graduan IBTE yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka sempena majlis konvokesyen ke-26.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, kemudian diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al-Masad beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohd Nur Faiz Fikri bin Noor Asmali, pelajar IBTE Kampus Bisnes.

    Doa Khatam Al-Quran pula dibacakan oleh Awang Muhammad Shah Reduan bin Mohd Haidi, pelajar IBTE Kampus Agro Teknologi.

    Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat bagi peserta lelaki dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik), Hajah Mariah binti Haji Abdul Manaf bagi peserta perempuan.

    Doa Selamat dibacakan oleh Awang Muhammad Hazim bin Sulaiman, pelajar IBTE Kampus Bisnes.

    Majlis berkenaan diadakan untuk menyokong falsafah negara Melayu Islam Beraja dan ke arah merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara zikir serta membudayakan warga IBTE dengan amalan membaca dan memartabatkan Al-Quran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda