Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    408 pelajar hadiri taklimat Kenali ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sebagai usaha untuk membarigakan dan memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN yang berlangsung di Dewan Jubli Mutiara, Sekolah Menengah Pehin Datu Maharaja Mentiri, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, di sini, menyatakan jerayawara berkenaan dihadiri oleh seramai 408 pelajar Tahun 7 dan Tahun 8 serta turut dihadiri oleh Pengetua Sekolah, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Taklimat Kenali ASEAN telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail di mana taklimat antara lain dihasratkan untuk menanamkan kesedaran di kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Haji Malai Shah Eran. 

    Selain dihasratkan untuk membarigakan mengenai ASEAN, jerayawara itu juga merupakan usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Pada masa yang sama ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa serta seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Semua di atas: Antara suasana semasa taklimat berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Penerangan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda