Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    41 belia sertai Program Literasi Penerangan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Sebagai salah satu usaha untuk menyampaikan maklumat rasmi dan hasrat kerajaan kepada golongan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah mengadakan Program Literasi Penerangan bagi Belia Mukim Daerah Belait, pada 18 dan 20 September.
     
    Program selama dua hari itu disertai oleh seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada belia-belia majlis perundingan mukim dan kampung serta belia dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
     
    Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Program Literasi Penerangan bagi Belia Mukim Daerah Belait berlangsung di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.
     
    Hadir pada majlis pembukaan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
     
    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Muhd Khairulhadi Haji Muhd Muhtaddir selaku pengerusi program menyatakan Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai media rasmi kerajaan melalui pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan, membarigakan dasar baharu belia di negara ini.
     
    Haji Fathi Foad bergambar ramai dengan para peserta program tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Di samping membantu golongan belia didedahkan kepada maklumat-maklumat yang boleh membantu mereka untuk memajukan diri, ia secara tidak langsung akan memacu negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Negara 2035 iaitu Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.
     
    Beliau turut menyatakan para peserta melalui program berkenaan menghadiri sesi taklimat dan lawatan termasuk lawatan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat yang akan memberikan pendedahan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup.
     
    Selain pengetahuan akademik, jelasnya, kemahiran hidup sangat penting dalam membantu individu untuk menyesuaikan diri dengan tantangan kehidupan, bekerjasama dan mengelola diri secara mandiri yang mencakup keterampilan seperti berfikir kritis, komunikasi efektif, pemecahan masalah, pengurusan emosi dan pengurusan waktu.
     
    Kemahiran hidup membekalkan seseorang untuk berjaya di dunia kerja dan kehidupan sehari-hari, bukan hanya unggul secara akademik. 
     
    Program itu juga di hasrat akan dapat meningkatkan kesedaran para peserta tentang betapa pentingnya peranan belia dalam membangun negara, memupuk kerjasama dan perhubungan erat di antara para belia dan peringkat akar umbi serta memahami maksud mengenai Dasar Belia 2020–2035.
     
    Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan pada satu ketika dahulu, semasa Pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Negara Brunei Darussalam, telah menjadikan masyarakat amnya terutama golongan belia semakin aktif berhubung dan berkomunikasi secara atas talian.
     
    Oleh itu, dalam mendepani arus zaman maklumat yang mudah berpindah tangan berkenaan, tambahnya, diharap belia juga waspada mengenai terdedah dengan risiko jenayah siber dan berita atau maklumat yang tidak sahih.
     
    “Sila layari laman sesawang Siber Sekuriti Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei untuk mendapatkan garis pandu atau jika perlu nasihat mengenai serta langkah-langkah pencegahan Talian Bantu 16993, bolehlah dihubungi sebagai saluran utama bagi mendapatkan nasihat dan bantuan berkaitan jenayah siber.”
     
    Sepanjang program dua hari itu, para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat semasa yang antaranya menyentuh pembangunan dan isu semasa belia dan dasar kerajaan, melalui pengisian taklimat, pelaksanaan aktiviti interaktif, serta lawatan ke beberapa agensi terpilih.
     
    Jabatan Penerangan dalam memantapkan lagi visi, Membudayakan Masyarakat Bermaklumat, akan sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan, di samping memberikan peluang untuk Jabatan Penerangan untuk lebih memahami lagi kehendak semasa dalam kalangan belia.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda