Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    41 maut hujan lebat landa Congo

    KINSHASA, 27 NOV – Seramai 41 orang maut di ibu negara Republik Congo selepas negara itu dilanda hujan lebat dan tanah runtuh, kata seorang pegawai kanan semalam.

    “Jumlah kehilangan sama ada nyawa atau harta benda adalah amat besar,” kata naib gabenor Kishasa, Neron Mbungu sambil menambah, jumlah kematian itu hanya pada peringkat awal dan dijangka terus meningkat.

    Menurut beliau, antara mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak yang meninggal dunia apabila terkena renjatan elektrik.

    Banjir besar yang membawa maut sering melanda Kinshasa, iaitu bandar ketiga terbesar di benua Afrika dengan kepadatan 10 juta penduduk.

    Pakar berkata amalan pembinaan tidak mengikut standard di bandar dan kekurangan perlindungan di kawasan setinggan menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi. Presiden Felix Tshisekedi melawat lokasi paling teruk terjejas dan disambut oleh golongan muda marah yang mendesak beliau membaik pulih kawasan berkenaan.

    Mbungu berkata, sebuah jambatan menghubungkan daerah Lemba dan Ngaba runtuh, manakala sebuah lagi di daerah Kisenso pula dihanyutkan air.

    Di Lemba, seorang wartawan melihat satu lubang besar sedalam 10 meter dan seluas 20 meter terbentuk di jalan raya.

    Datuk Bandar Lemba, Jean Nsaka berkata, sistem pengairan yang sedia ada musnah akibat tekanan air, menyebabkan keseluruhan kawasan sekitar tenggelam.

    “Lebih daripada 300 rumah dinaiki air dan banyak lagi musnah dalam bencana ini,” katanya. – AFP

    Permukaan jalan runtuh akibat tanah susur berpunca daripada hujan lebat semalaman di daerah Lemba, Kinshasa pada 26 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda