Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    41 pekerja terperangkap berjaya diselamatkan

    NEW DELHI, 29 NOV – Seramai 41 pekerja binaan yang terperangkap dalam terowong jalan raya yang runtuh di India selama 17 hari berjaya diselamatkan kelmarin.

    Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuh raya, Nitin Gadkari berkata, operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi diselaraskan dengan baik menjadikannya antara operasi menyelamat terpenting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Pelbagai jabatan dan agensi saling melengkapi antara satu sama lain walaupun berdepan pelbagai cabaran,” kata menteri itu. Pekerja itu terperangkap lebih 200 meter dari pintu masuk terowong setelah sebahagian daripada terowong Silkyara sepanjang 4.5 kilometer (km) di daerah Uttarkashi, Uttarakhand runtuh pada 12 November.

    Penyelamat menghadapi banyak kesukaran, termasuk kerosakan peralatan semasa menggerudi dengan peralatan berat untuk mencapai kedudukan mangsa.

    Sepanjang tempoh itu, semua pekerja menerima makanan, air, oksigen dan ubat-ubatan melalui paip.

    Mereka akhirnya muncul seorang demi seorang di atas pengusung beroda melalui paip pemindahan berukuran 90 sentimeter yang dibina melalui runtuhan terowong.

    Beberapa meter terakhir penggerudian kira-kira 60 meter itu dilakukan secara manual oleh pelombong yang dikenali ‘pelombong tikus’.

    Sementara itu, ahli keluarga pekerja, penduduk tempatan, penyelamat dan pegawai kerajaan yang hadir di lokasi kejadian bersorak meraikan kejayaan mengeluarkan semua mangsa terlibat. – Bernama

    Ketua Menteri wilayah Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami menyambut pekerja-pekerja yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 17 hari.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda