Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    41 peserta terima sijil literasi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Seramai 41 peserta terdiri daripada penuntut-penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei serta para belia dari sektor swasta, pencari pekerjaan dan yang sedang menjalani cuti penggal persekolahan telah menerima sijil masing-masing dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Literasi Penerangan, kelmarin.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil pada majlis yang diadakan di Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.

    Terdahulu, atur cara program hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Institusi Penjara Maraburong, di mana para peserta berpeluang mendengarkan taklimat mengenai sejarah penubuhan dan latar belakang Jabatan Penjara serta program-program pemulihan dan reintegrasi bagi rakan seliaan; demonstrasi sebatan secara sivil dan syariah serta lawatan ke bengkel-bengkel vokasional dan kemahiran.

    Pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan Taklimat Menambat Dastar, Menapih Sinjang dan Kain Kapit yang dikendalikan oleh Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN). Selain mendengarkan taklimat, para peserta juga berpeluang mempelajari dan menyertai aktiviti menambat dastar dan menapih sinjang dengan bimbingan pegawai dari JAIN.

    Program tersebut merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan dengan menggunakan pendekatan seluruh negara dan kerajaan yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.

    ATAS & BAWAH: Dayang Sastra Sarini menyampaikan sijl kepada para peserta pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Dayang Sastra Sarini bergambar ramai bersama para peserta pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda