Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Seramai 41 penerima dari kalangan asnaf dan fakir miskin Kampung Kilanas telah menerima agihan daging dalam Majlis Ibadat Korban yang berlangsung sempena Hari Raya Aidiladha ketiga bertempat di perkarangan Masjid Kampung Kilanas pagi tadi.
Majlis yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas dan Jemaah Masjid Kampung Kilanas turut menyaksikan penyertaan 28 peserta korban yang terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid berkenaan.
Acara yang menjayakan penyembelihan empat ekor kerbau telah dimulakan dengan kehadiran petugas dan sukarelawan yang melaksanakan kerja-kerja pemotongan serta pembungkusan daging mengikut senarai pendaftaran peserta. Turut menyemarakkan suasana ialah persembahan tausyeh oleh Belia-Belia Masjid Kampung Kilanas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Di samping itu, majlis turut diserikan dengan acara perasmian wakaf van jenazah bagi Masjid Kampung Kilanas. Penyerahan replika kunci kenderaan tersebut telah disempurnakan oleh wakil pewakaf kepada Yang Berhormat Menteri, sebelum diserahkan kepada wakil masjid sebagai simbolik penerimaan rasmi.
Yang Berhormat Dato Menteri kemudian menabur bunga rampai ke van jenazah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang amat bermakna kepada komuniti.
Semua di atas: Upacara perasmian van jenazah yang diwakafkan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat, takbir Hari Raya Aidiladha, serta bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh pengerusi majlis, Imam Mohd Redzuan bin Haji Marzuki.
Acara kemuncak ialah penyampaian agihan daging korban kepada para penerima asnaf dan fakir miskin, serta kepada peserta dan jemputan yang hadir yang disempurnakan oleh tetamu kehormat. Beliau turut menerima cenderahati kenangan daripada pihak penganjur.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Imam Muhd Fahmie bin Haji Awang Metussin, diikuti dengan jamuan ringan dan sesi ramah mesra. Program ini bukan sahaja melaksanakan tuntutan agama, bahkan turut memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli kariah.
Semua di atas: Antara yang menerima agihan daging korban berkenaan.


