Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Sumbangan berjumlah $41,139 untuk Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria daripada tujuh buah agensi kerajaan dan swasta telah diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada majlis yang berlangsung di KKBS, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku penasihat bersama tabung berkenaan.
Agensi-agensi yang menghulurkan sumbangan terdiri daripada Kementerian Pendidikan berjumlah $13,947 yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad dan daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Sementara itu, sumbangan daripada Universiti Teknologi Brunei (UTB) berjumlah $3,000 disampaikan oleh Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berjumlah $3,000 disampaikan oleh Pemangku Rektor UNISSA, Prof Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad; $10,192 daripada Syarikat Takaful Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Syarikat Takaful Brunei Darussalam, Pengiran Haji Suffri bin Pengiran Haji Hashim.
Manakala itu, $1,000 daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Setiausaha Agung PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim; dan $5,000 daripada Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Yang Dipertua, Hajah Hassanah binti Haji Hassan.
Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.
Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan sejak 14 Februari lalu telah berakhir pada 14 Mei.
Sehubungan itu, KKBS memaklumkan orang ramai khususnya agensi-agensi kerajaan dan swasta, persatuan-persatuan atau badan-badan bukan kerajaan, orang persendirian yang telah membuat kutipan bagi tabung berkenaan untuk segera menyerahkan hasil kutipan kepada pihak Urus Setia di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, JAPEM, Bangunan KKBS pada waktu pejabat tidak lewat 30 Mei, pukul 11 pagi.