BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Seramai 42 orang yang terdiri daripada pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), pegawai-pegawai daripada sektor kerajaan dan swasta serta kakitangan telah berjaya menamatkan program kem kepimpinan yang diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Shell LiveWIRE.
Program tiga hari dari 25 hingga 27 Jun lalu itu diadakan di Trandie Marina Resort dan bermatlamat untuk memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam diri individu dan menyelidiki ciri-ciri peribadi peserta menerusi penilaian diri dan rakan-rakan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Shell LiveWIRE, program bermula dengan sesi pertama yang diketuai oleh Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan yang menyentuh mengenai ‘Kepimpinan Berpengaruh’.
Kemudian, sesi-sesi teori dipimpin oleh Kaunselor Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan yang menyentuh mengenai konsep-konsep psikologi terkenal seperti Johari Window oleh Joseph Luth dan Harrington Ingham, Hierarchy of Needs oleh Abraham Maslow, 8 Keys of Excellence oleh Bobbi Deporter dan AIDA Marketing model oleh E. St. Elmo Lewis.
Pada hari terakhir, sesi-sesi dipimpin oleh Afiq Mohammed mengenai renungan dan penemuan diri dengan meneliti matlamat dan pencapaian-pencapaian peribadi.
Manakala itu, sesi-sesi fizikal seperti trekking di hutan Temburong, berakit dan mengatasi pelbagai laluan berhalangan telah diketuai oleh jurupandu-jurupandu berpengalaman dan berkelayakan dari Trandie Marina Resort.
Program diakhiri dengan ucapan daripada Pengarah Program LiveWIRE, Haji Yusrin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Salleh.
