Monday, May 5, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    42 kenderaan berentap dalam cabaran off-road 4×4

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Majlis Perundingan Kampung, Kampong Kilanas melalui Biro Explorasi telah mengungkayahkan Kejohanan Kilanas 4X4-Bukit Dadap Offroad Challenge 2025 sempena sambutan Hari Keluarga di Trek 4×4 Bukit Dadap, Jalan Dadap Kampong Kilanas kelmarin.

    Muncul selaku juara dalam kejohanan berkenaan disandang oleh Chin Yeong Jian dan membawa pulang hadiah piala rebutan dan piala Juara, beserta wang tunai $1,000.

    Manakala tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Awang Masri Bin Matassan dan Awang Norjamie Bin Pakau.

    Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Amran bin Haji Maidin.

    Turut hadir ialah Ketua-ketua Kampung sekitar Mukim Kilanas.

    Acara selama empat hari berkenaan membuka peluang kepada penggemar kereta pacuan 4 roda untuk mempertandingkan kenderaan mereka dalam suasana yang lasak dan mencabar. 

    Terdapat dua kategori telah dipertandingkan iaitu individu terbuka dan isi padu bebas dengan jumlah penyertaan sebanyak 42 buah kenderaan.

    Menurut Majlis Perundingan Kampung Kilanas ketika dihubungi, tujuan dan matlamat kejohanan ini diadakan adalah bagi sama-sama memeriahkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang saban tahun disambut pada setiap bulan Mei di negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, ia juga sebagai satu bentuk riadah dan santai bersama keluarga dan rakan taulan di samping mengukuhkan perpaduan sesama penggemar pacuan 4 roda di dalam dan luar negara.

    Melalui acara berkenaan juga, ianya diharap dapat membina daya tahan diri serta menguji kemahiran minda untuk berfikir cara pemanduan dan pengendalian kenderaan pacuan 4 roda yang betul semasa menghadapi situasi yang sukar dan mencabar.

    Di samping itu, sebanyak 20 petak jualan juga telah dibuka untuk menceriakan acara berkenaan.

    Acara berkenaan turut disokong oleh Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan turut ditaja oleh syarikat Suzuki Brunei dan Automagination, Bungan Trading Autoparts dan lain-lain.

    Yang Berhormat Amran  semasa menghadiri acara berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara peserta yang bertanding dalam acara berkenaan.

    Antara pemenang menerima hadiah dari tetamu kehormat.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda