Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Berhubung berita mengenai tiga orang warganegara Indonesia yang telah didapati positif COVID-19 sebaik sahaja tiba di Surabaya, Indonesia dari Bandar Seri Begawan pada 9 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan menerangkan bahawa sejurus menerima maklumat berkenaan pada 13 Ogos lalu, pihak kementerian telah segera membuat penyiasatan kontak bagi ketiga-tiga kes berkenaan di mana seramai 42 orang kontak telah dikenal pasti.
Kesemua mereka telah menjalani ujian swab COVID-19 dengan segera di mana pada 15 Ogos, kesemua kontak telah disahkan negatif. “Pada masa ini, mereka sedang menjalani kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa maklumat terkini yang diterima daripada Kementerian Kesihatan Republik Indonesia, ketiga-tiga orang warganegara Indonesia berkenaan telah kini disahkan negatif COVID-19 dan dibenarkan pulang ke rumah.
Sementara itu, ketika menjawab persoalan mengenai keputusan ujian berkenaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa pihak Indonesia melaksanakan ujian yang serupa dengan yang dilaksanakan di negara ini dan berpendapat bahawa ia adalah kerana evolusi virus berkenaan. Beliau menerangkan lanjut bahawa apabila ujian swab COVID-19 dijalan-kan untuk kali kedua, didapati bahawa keputusan bagi ketiga-tiga orang warganegara Indonesia itu adalah negatif.
Mengulas mengenai klinik-klinik swasta dibenarkan mengeluarkan notis pengasingan, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa pada masa ini dengan masih ada kekhuatiran penularan jangkitan COVID-19, klinik-klinik swasta diberikan kuasa oleh Kementerian Kesihatan untuk memberikan notis pengasingan tetapi ia harus mengikut garis panduan yang telah diberikan.
Beliau menyatakan bahawa jika mana-mana mereka yang didapati mempunyai simptom yang digariskan melalui senarai dalam garis panduan itu, mereka akan diberikan notis pengasingan.
