Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Seramai 34 orang qari dan lapan qariah terpilih untuk menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2019M setelah berjaya mendapat markah 80 peratus ke atas dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Daerah Bagi Tahun 1441H/2019M yang berakhir hari ini.
Majlis pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para hakim dan peserta telah berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arsad.
Pada majlis itu, pengumuman keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Daerah Bagi Tahun 1441H/2019M telah dibuat oleh pengerusi jemaah hakim, Awang Mohd Ali Sabri bin Haji Yussof yang diikuti de-ngan persembahan membaca ayat suci Al-Quran oleh salah seorang peserta yang layak ke peringkat separuh akhir.
Seramai 54 orang qari dan 12 orang qariah telah menyertai musabaqah peringkat daerah berkenaan yang berjalan selama tiga hari. Musabaqah peringkat daerah merupakan anjuran Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid di keempat-empat daerah dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Ia antara lain bertujuan untuk menggalakkan atau menarik minat orang ramai untuk meningkatkan lagi mutu bacaan Al-Quran.
Selain itu, ia juga dapat dijadikan sebagai pendorong kepada mereka yang berbakat di dalam seni pembacaan Al-Quran agar mengasah bakat yang ada.
